Kerjaya Hasnul Rahmat

Pembabitan seni lukis, teater dan pengajian filem

Memegang watak sebagai Hasbi dalam Mantra, bersama Zul Handy Black (kiri)

Beliau memulakan langkah seni semasa di sekolah seni lukis La Salle pada tahun 1989 di Singapura. Semasa pengajiannya di sekolah seni, beliau juga melibatkan dirinya dalam bidang teater di bawah asuhan pelukis/pengarah/pelakon Khairul Anwar Salleh. Pementasan pertamanya sebagai pemain adalah dari karya Rafaat Hamzah "Kali ini jam dua belas datang lewat dari waktunya" (1989) sempena Festival Teater Remaja ajuran Kemuning serta "Forest for Rest" (1990) dan "Noah Ark" (1990) sempena Festival of the Arts / Time Show Artist Village. Beliau kemudiannya meneruskan pengajiannya ke sekolah filem di Akademi Filem Malaysia (sekarang Aswara) pada tahun 1994. Arahan filem pendek pertama beliau berjudul "The Angry Young Pig" (1995) telah memenangi Anugerah Silver Award dalam 2nd Malaysian Video Award. Seterusnya, beliau telah mengarah banyak lagi filem pendek yang bercorak eksperimental sehingga sekarang, di antaranya adalah "Separuh Bumi" (1997),"Dead Moments" (1997), "Little Boy in the Sky" (1998), "Found Object" (1998), "Bukan di syurga yang ini" (1999) dan "The Last Dinner" (1999), "I was Interrupted" (2010) dan "Kiss My Method" (2010). Aktiviti-aktiviti pementasan teater semasa pengajian filem diteruskan dengan penglibatan beliau sebagai pemain untuk "Teater Iqbal" arahan Normah Noordin, karya teater Tenessee William "Glass Menagerie"(1996) arahan Norzizi, "Mencari Juita"(1997) arahan Erma Fatima, "Bangau Oh Bangau"(1998) Type-O, "Teater Penghargaan S Othman Kelantan" (1999) serta "Konsert Gembala M. Nasir "(2000) arahan Jalil Ngah dan naskhahnya oleh Loloq. Beliau juga telah melakonkan watak ciptaan dari karya-karya tulisan lirik arwah Loloq di Istana Budaya dengan persembahan tribute "Untukmu Loloq" (2011).

Pembabitan dalam filem dan TV sebagai pelakon

Peluang tiba untuk beliau apabila beliau diambil untuk filem "KL Menjerit"(2002) diarahkan oleh Bade Haji Azmi. Hasil lakonan memberi tuah apabila beliau memenangi anugerah Pelakon Harapan Lelaki pada FFM16 melalui watak Tun. Pada tahun berikutnya, beliau sekali lagi tercalon bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik untuk filem Paloh arahan Adman Salleh pada tahun 2002. Selepas itu, beliau menjadi pilihan kepada ramai pengarah di mana lakonan beliau dapat dilihat melalui arahan Bade Hj. Azmi "Berlari ke Langit" (2003),"Gangster" (2005) "Maut" (2009), "Buai Laju-Laju"(2003) dan "Hanyut"(2010) arahan Uwei Hj Shaari, "Lang Buana"(2002) serta filem sekuel pertama "Rock" (2006) arahan Mamat Khalid di mana beliau telah dianugerahkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Filem di Anugerah Skrin-16. Beliau kembali tercalon pada FFM24 untuk kategori yang sama, menerusi filem Mantra arahan Azhari Zain. Pengarah-pengarah lain yang beliau terlibat berkerjasama adalah arahan Dain Said dari filem "Dukun", arahan Shuhaimi Baba dari filem "Tanda Putera", arahan Fendi dari filem "Songlap", arahan Nik Amir dari filem "KIL" (2011). Kerja-kerja beliau yang terkini adalah filem "CCTV" (2014) arahan Daven.R dan filem arahan Faisal Ishak adalah dari filem "Juvana 2" (2015) dan "Juvana 3" (2016) sebagai Cikgu Raja.

Bermula dengan telefilem "Di Balik Jerjak Hati" (1990) arahan Kamaliah Salleh di Singapura dan "Bila Bulan Mengambang" (1995) arahan Mokhtar Abu Bakar di Malaysia sehingga supertele biopik "Saloma" (2015) arahan Melissa Saila , beliau telah terlibat banyak drama-drama televisyen di Malaysia mahupun di Singapura.

Penglibatan sebagai pengarah

Selain dari mengerjakan pembikinan filem-filem pendek dari zaman sekolah filem dari 1994 sehingga kini, beliau masih tetap aktif dalam dunia lakonan dan kerja-kerja seni-interdisplinary yang lain. Karya arahan beliau yang pertama berjudul "27 Selamanya" (2011) adalah sebuah drama rockumentari yang telah ditayangkan di UnifiTV dan TV2. Dua lagi karya dokumentari arahan beliau yang terkini adalah Shadows of Eigasha dan dokumentari musik Angin Menderu.